Monday 19 September 2011

PUISI CIKGU KEPADA YANG MENJUMPAINYA


( i )
kalau ditanyai kenapa
seorang itu perlu jadi cikgu ?
ceritakanlah tentang,

( ii )
selamat pagi cikgu,
bila anak saya nak dapat buku teks ?
dibelek-belek ke dalam fail
borang SPBT anaknya tak kembalikan.

pagi cikgu,
kenapa surat ponteng dihantar kepada saya ?
disemak-semak ke dalam jadual kedatangan
tiga minggu anaknya tak hadir kelas.

cikgu, siapa ajar Bahasa Melayu ?
periksa akhir tahun tak lulus
sedang di rumah anaknya senang
baca komik.

( iii )
selamat tengah hari cikgu,
kenapa hujung-hujung minggu begini
adakan mesyuarat PIBG ?
tapi kalau jumpa selalu bisik
nak komputer, nak itu nak ini.

tengah hari cikgu,
saya gembira kelas tambahan selalu buat
tapi pelajarnya selalu tak penuh.

cikgu,
lambat lagi balik hari ini ?
yalah, mesyuarat dan mesyuarat
untuk anak-anak pakcik.

( iv )
selamat petang cikgu,
bila nak pakai kereta baru ?
tekan-tekan butang ATM
wang selalu habis buat fotokopi.

petang cikgu,
pagi sekolah, petang pun sekolah ?
rajin ya cikgu
habis buku rampaian siapa nak semak ?.

cikgu,
kenapa jadi cikgu ?
kerja kilang gajinya banyak
di sekolah anak pakcik
siapa nak ajar ?.

( v )
kalau ditanyai kenapa
seorang itu perlu jadi cikgu ?
katakanlah
aku boleh baca dan buat satu puisi.


ZULKIFLI BIN MOHAMED
Bentong, Darul Makmur
31 Disember 1999.


No comments:

Post a Comment